LORI membawa muatan simen melanggar lapan kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Seremban, Semenyih, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
LORI membawa muatan simen melanggar lapan kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Seremban, Semenyih, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


LORI membawa muatan simen melanggar lapan kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Seremban, Semenyih, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 11 pagi tadi.

Beliau berkata, ketika kejadian, lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dikatakan dalam perjalanan dari Rinching menghala ke Broga.

Menurutnya, sebaik menuruni bukit di lokasi, pemandu lori berkenaan mendapati brek tidak berfungsi lalu menggerakkan kenderaan itu ke kanan bagi mengelak melanggar kereta di hadapannya.

“Tindakan itu menyebabkan lori berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan lalu melanggar sebuah kereta Proton Wira.

“Lori itu kemudian terus menyeret kereta berkenaan dan mengakibatkan perlanggaran dengan tujuh kenderaan lain di belakang kereta Proton Wira terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu, namun pemandu lori terbabit ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan kenderaan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.57 pagi tadi.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati pemandu dan penumpang kereta Proton Wira terbabit tersepit di tempat duduk-masing-masing.

“Kedua-dua mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian dan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 7:19 PM