ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Labis, Segamat. FOTO Ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


MUAR daerah keenam terjejas banjir dan mencatat lima mangsa daripada dua keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bangunan GPW Maokil di Felda Maokil.

Menurutnya, keseluruhannya sebanyak 42 PPS beroperasi di seluruh negeri yang menempatkan 703 keluarga membabitkan 2,640 mangsa.

Katanya, ia menunjukkan bilangan mangsa banjir di Johor meningkat pada 6 petang berbanding 3 petang tadi, iaitu 21 PPS beroperasi di seluruh negeri yang menempatkan 355 keluarga membabitkan 1,364 mangsa.

“Daerah lain yang turut terjejas adalah Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat dan Kulai.

“Selain Muar, setakat ini sebanyak 12 PPS beroperasi di Kota Tinggi membabitkan 201 keluarga (790 mangsa); lapan PPS di Mersing membabitkan 247 keluarga (939 mangsa); 18 PPS di Kluang membabitkan 187 keluarga (679 mangsa) dan dua di Segamat membabitkan 45 keluarga (166 mangsa) serta sebuah PPS di Kulai membabitkan 61 mangsa daripadanya 21 keluarga.

“Banjir di Johor berpunca daripada hujan berpanjangan dan pertembungan air pasang (laut) sejak petang semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 7:46 PM