SEBAHAGIAN kanak-kanak menyertai Sunathon Perdana 2019 di Gombak.
Mohd Napi Ibrahim


SERAMAI 30 kanak-kanak lingkungan usia enam hingga 12 tahun menempuh ‘alam dewasa’ apabila menyertai Sunathon Perdana 2019 di Masjid Sungai Chinchin, Gombak, hari ini.

Menurut Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Chinchin, Ahmad Sofian Abd Rani berkata, acara tahunan itu sentiasa mendapat perhatian penduduk termasuk orang luar.

“Ini kerana bayaran dikenakan sangat berpatutan sekitar RM80 seorang selepas diberi subsidi oleh pihak pengurusan masjid.

“Selain itu, proses berkhatan turut dilakukan doktor bertauliah dengan kelengkapan yang terkini,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan.

Ahmad Sofian berkata, pihaknya berharap aktiviti berkenaan dapat diteruskan setiap tahun yang bukan sahaja memudahkan kanak-kanak menjalani proses berkhatan, malah secara tidak langsung mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara penduduk.

Terdahulu, semua peserta diarak sebelum diraikan dengan menyiram air beramai-ramai oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Simpang Tiga, Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 8:51 PM