PENDUDUK dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas kawasan kampung mereka banjir. FOTO Ihsan JBPM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LIMA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Rompin, selepas hujan lebat selama beberapa jam mengakibatkan banjir sekali gus menjejaskan beberapa penempatan penduduk, hari ini.

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 144 mangsa membabitkan 36 keluarga dipindahkan setakat 6 petang ini di lima PPS yang dibuka.

Lima PPS yang dibuka itu adalah Balairaya Lintang/Surau Kampung Perpat; Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok; Balairaya Kampung Sepayang; Balairaya Kampung Janglau; dan pusat pemindahan Banjir Kampung Setajam.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya turut membantu dalam urusan memindahkan penduduk ke PPS yang dibuka.

Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin bersama lori Hicom digunakan dalam operasi pemindahan hari ini.

“Turut sama dalam operasi pemindahan ini seramai sepuluh anggota polis.

“Pihak kita sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memindahkan lebih ramai penduduk sekiranya keadaan banjir semakin berlanjutan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya banjir pulih dan keadaan mengizinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 9:04 PM