ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa dalam Toyota Avanza selepas terbabit kemalangan dengan Perodua Myvi. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


IBU kepada seorang anggota bomba maut, lima yang lain cedera, termasuk dua bayi dalam kemalangan di Kilometer 50 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli di Gerik, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Nooraini Mohd Isa, 65, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak mangsa, anggota bomba, Joharudin Hashim, 41, yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Machang, Kelantan, cedera.

Empat mangsa lain membabitkan pasangan suami isteri berusia 29 tahun dan dua bayi perempuan mereka, masing-masing berusia dua bulan dan dua tahun turut cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Avanza dinaiki anggota bomba terbabit bersama ibunya dan Perodua Myvi dinaiki empat sekeluarga.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dua beranak itu dari arah Jeli hala ke Gerik manakala kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian MPV berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta terbabit.

“Kesan perlanggaran berlaku di bahagian sisi sebelah kiri bahagian hadapan itu mengakibatkan penumpang hadapan MPV tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Gerik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota bomba berkenaan turut mengalami kecederaan, selain pemandu serta penumpang kereta Perodua Myvi juga cedera dan dirujuk ke Hospital Gerik untuk rawatan.

“Pemandu kereta lelaki berusia 29 tahun yang bertugas di Jabatan Perikanan Putrajaya cedera dan isterinya berusia 29 tahun patah kaki kanan, selain bayi mereka berusia dua bulan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi anak mereka berusia dua tahun dirawat di Hospital Gerik.

“Pemandu MPV terbabit ditahan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 9:37 PM