MOHAMAD ALAMIN
MOHAMAD ALAMIN
Mohd Izham Unnip Abdullah


KETUA UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin mendahului senarai nama calon yang bakal dipertaruhkan UMNO bagi merebut semula kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Berdasarkan sumber, ada beberapa lagi nama disebut-sebut sebagai antara calon dalam senarai UMNO, namun Mohamad dilihat lebih berpotensi membawa cabaran parti itu berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan.

Mohamad menjadi ADUN Bongawan selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), namun gagal mempertahankannya apabila tewas di tangan calon WARISAN, Dr Daud Yusof pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu.

Bongawan adalah satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Membakut dalam Parlimen Kimanis.

DUN Membakut kini diwakili BERSATU selepas wakil rakyatnya, Datuk Mohd Ariffin Arif keluar UMNO pada tahun lalu dan secara rasmi menyertai BERSATU bersama bekas pemimpin UMNO Sabah yang lain pada April lalu.

Nama lain yang disebut sebagai calon PRK Kimanis dalam senarai Barisan Nasional (BN) atau UMNO termasuk penyandang kerusi berkenaan sendiri iaitu bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan dua anaknya, selain seorang pensyarah dan bekas kakitangan awam.

Sumber berkenaan menjelaskan, memang perkara biasa ada ramai nama disebut sebagai calon berpotensi, namun ia tidak lebih hanya provokasi untuk melagakan pemimpin yang disebut.

“Kalau diikutkan, tiada pemimpin lain lagi yang paling sesuai untuk dicalonkan melainkan Mohamad. Bagaimanapun, kita tunggu saja pengumumannya nanti,” kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti dilaporkan BERNAMA, tidak menafikan spekulasi mengenai Anifah sebagai antara beberapa nama yang boleh dipertimbangkan jika Anifah berminat kembali kepada UMNO bagi menggalas cabaran parti itu dan BN.

Dalam laporan lain, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, turut dilapor berkata, dua anak Anifah iaitu Ahmad Firdaus yang juga Ketua Pemuda UMNO Kimanis dan Ahmad Zachry turut berada dalam senarai parti itu.

Anifah keluar UMNO pada tahun lalu dan kekal menjadi Ahli Parlimen Bebas sehingga kemenangannya terbatal selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Ogos lalu yang memutuskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerusi Parlimen Kimanis sebagai tidak sah dan batal.

Ia selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya yang membicarakan petisyen difailkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sebelum ini, Karim memfailkan petisyen bagi menyemak semula keputusan pilihan raya kawasan berkenaan selepas PRU-14 tahun lalu yang pada awalnya ditolak Mahkamah Khas Pilihan Raya, namun dikembalikan oleh Mahkamah Persekutuan untuk dibicarakan pada awal tahun ini selepas pempetisyen mengemukakan rayuan.

Pada PRU-14, Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 12:01 AM