NUR’ATIKA
Rosyahaida Abdullah


“ALHAMDULILLAH, saya tidak menunggu lama untuk mendapat pekerjaan. Tidak sampai sebulan selesai peperiksaan semester akhir, saya dipanggil temuduga dan terus diterima bekerja,” kata Nur’atika Mohamad, 21.

Menamatkan pengajian Diploma Ketepatan Kejuruteraan di Tech Terrain College (TTC), Nur’atika terpilih sebagai antara tiga pelajar terbaik daripada lebih 300 graduan Diploma Kemahiran Malaysia yang diraikan dalam Majlis Graduasi Ke-10 TTC di ibu negara, semalam.

Nur’atika mengakui pernah menerima tawaran mengikuti pengajian dalam bidang lain sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antaranya kejururawatan namun tawaran itu ditolak kerana minatnya lebih terarah ke bidang teknikal.

“Saya sangat bersyukur kerana bukan saja mendapat pekerjaan dengan cepat malah skop kerja yang dipertanggungjawabkan majikan seakan-akan mudah untuk saya lakukan mungkin kerana pendedahan diterima sepanjang pengajian,” katanya.

Bagi S Arul, 27, ilmu yang ditimba sepanjang tiga tahun mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Peruncitan di TTC menambah ilmu serta kebolehpasarannya untuk berkhidmat semula dalam bidang sama diceburi sebelum ini.

“Sebelum menyambung pengajian di TTC, saya bekerja dalam bidang peruncitan dan memutuskan untuk sambung belajar hasil saranan bekas majikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:05 AM