KEADAAN banjir di Rompin. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MANGSA banjir di Rompin terus meningkat apabila seramai 681 mangsa daripada 176 keluarga dipindahkan setakat 8 pagi hari ini.

Berbanding semalam hanya 144 mangsa membabitkan 36 keluarga dipindahkan setakat 6 petang di lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini .

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang dibuka juga bertambah kepada sembilan berbanding lima pada petang semalam.

Sembilan PPS yang dibuka itu adalah Balairaya Lintang/ Surau Kampung Perpat; Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok; Balairaya Kampung Sepayang; Balairaya Kampung Janglau; pusat pemindahan Banjir Kampung Setajam.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu; Dewan Angkat Berat Rompin; SK Sarang Tiong dan Balairaya Bukit Lepas.

Semua mangsa banjir dipindahkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan lori dan bot penyelamat.

Sementara itu, tiga jalan di daerah ini turut ditutup akibat banjir iaitu Jalan Kampung Denai; Jalan Kampung Sungai Mok dan Jalan Lubuk Batu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 9:37 AM