BOT yang dinaiki dua nelayan. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


DUA nelayan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka rosak dan terkandas di laut selama kira-kira tiga jam ketika keluar menangkap ikan berhampiran Pulau Rumbia, Lumut, semalam.

Bagaimanapun, dua lelaki berusia 30-an itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 8 malam tadi.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5 petang, semalam sebelum menggerakkan aset dan anggota ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, bot dinaiki dua nelayan itu mengalami kerosakan di sekitar Pulau Rumbia sebelum dihanyutkan arus.

“Dua nelayan terbabit keluar ke laut sejak dua hari lalu dari jeti Sungai Tiram, Lekir sebelum bot mereka mengalami kerosakan di laut semalam.

DUA nelayan yang berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka rosak dan terkandas di laut kira-kira tiga jam ketika keluar menangkap ikan di 1.5 batu nautika dari Pulau Rumbia, Lumut, semalam diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). FOTO Ihsan APMM

“Ketika ditemui, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot kemudiannya ditunda ke Jeti Awam Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Shahrizan, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika berada di pesisir pantai dan laut terutama ketika musim monsun timur laut.

Katanya, menjadi tanggungjawab APMM untuk mengingatkan semua komuniti maritim seperti nelayan, perkapalan dan industri cari gali minyak mahupun penggemar aktiviti rekreasi laut supaya meningkatkan tahap waspada terutama ketika musim monsun timur laut.

“Pantau ramalan kaji cuaca dengan mudah melalui aplikasi MCG Info yang dikeluarkan oleh APMM atau mycuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Elakkan melakukan aktiviti laut sekiranya cuaca buruk, laut bergelora dan angin kencang selain orang ramai juga digalakkan menyimpan nombor telefon Pusat Operasi Maritim Perak iaitu 05 6838737 atau MERS 999 di telefon bimbit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:16 AM