SEBUAH rumah yang dihuni satu keluarga dihempap sepohon pokok dalam kejadian di Kampung Kelulut. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


ANGIN kencang selama beberapa minit mengakibatkan pokok dan dahan kayu menghempap rumah dihuni sekeluarga di Kampung Kelulut, Temerloh, semalam.

Dalam kejadian 5.20 petang itu hampir menyebabkan penghuni rumah berkenaan cedera sebelum mereka berjaya menyelamatkan diri.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 5.29 petang tiba ke lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin tiba bagi melakukan kerja mengalihkan batang kayu dan dahan menghempap rumah berkenaan.

“Operasi bermula pada 5.40 petang, kita menggunakan mesin gergaji untuk memotong kayu itu sebelum mengalihkan dahan yang menghempap bumbung rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Beliau berkata, operasi disertai satu pegawai dan lapan anggota itu tamat pada 7.01 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:29 AM