SEKUMPULAN lembu masuk ke dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang Keretapi, Taiping. FOTO Tular
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


KUMPULAN lembu yang dibiarkan bebas berkeliaran hingga sering memasuki Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang Keretapi di Taiping untuk meragut rumput setiap petang, mengundang ketidakselesaan penduduk apabila terdapat binaan kubur yang rosak selain najis lembu mengotori kawasan berkenaan.

Penjaga perkuburan itu, Saat Said, 56, berkata, keadaan itu menimbulkan ketegangan antara dia dan waris yang memarahinya apabila mendapati kubur keluarga mereka dalam keadaan rosak selain dilumuri najis.

Menurutnya, walaupun tidak menerima sebarang bayaran atas amanah menjaga perkuburan itu, dia bersama beberapa rakan cuba membetulkan semula struktur binaan kubur khususnya batu nisan yang tumbang selain susunan bata di atas kubur yang berselerak.

Katanya, bagaimanapun masalah itu tidak pernah selesai susulan tiada kesedaran daripada pemilik lembu yang membiarkan ternakan mereka tanpa pengawasan.

NAJIS lembu yang terdapat di beberapa buah kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang Keretapi , Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

“Teguran kepada penternak lembu sudah diberikan selain aduan kepada ketua kampung dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengenai masalah ini, namun keadaan masih berulang hingga memaksa ada segelintir waris membuat laporan polis kerana kubur dirosakkan ternakan itu.

“Sampai ada yang beri cadangan supaya lembu-lembu itu ditangkap secara diam-diam, namun bagi saya perkara itu hanya akan menimbulkan masalah lain di kemudian hari termasuk akan jadi kes jenayah” katanya ketika ditemui di perkuburan itu.

Menurutnya, kumpulan lembu yang dilepaskan itu juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan di hadapan perkuburan itu khususnya pada waktu malam.

“Walaupun lembu-lembu itu kebiasaannya akan pulang ke kandang pada waktu senja, namun kadangkala ada yang masih berkeliaran di tengah jalan pada waktu malam mungkin kerana tersesat dari kumpulannya.

“Ini membahayakan pengguna jalan dan pernah berlaku beberapa insiden lembu dilanggar kenderaan di jalan berkenaan hingga ada motosikal nyaris terjatuh ke dalam anak sungai bersebelahan jalan itu.

“Justeru, selaku penduduk tempatan saya mengharapkan MPT mengambil tindakan bagi membendung masalah ini yang turut membabitkan soal keselamatan selain keselesaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:48 AM