PENUNGGANG motosikal maut selepas merempuh belakang sebuah kenderaan berat yang belum dikenalpasti di Kilometer 349.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Bidor menuju Sungkai 8.30 pagi. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


PENUNGGANG motosikal maut selepas dipercayai merempuh belakang kenderaan berat yang belum dikenalpasti di Kilometer 349.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Bidor menuju Sungkai, dekat Tapah, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, Muhammad Haziq Mohd Yusof, 21, yang beralamat di Kampung Tersusun Bt 8, Ulu Kinta, Ipoh meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Honda RS150 ditunggang mangsa dengan sebuah kenderaan lain dipercayai kenderaan berat yang belum dikenalpasti jenis dan nombor pendaftarannya.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan menuju ke arah selatan, apabila sampai di tempat kejadian dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan berat yang nombor pendaftaran dan jenis tidak pasti.

“Ia berdasarkan kerosakan teruk di bahagian hadapan motosikal mangsa dan kemalangan itu mengakibatkan penunggang parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat sebelum dituntut waris dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 11:14 AM