PERHIMPUNAN Black Sunday yang berlangsung sejam, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.
Norasikin Daineh


PERHIMPUNAN ‘Black Sunday’ di Jalan Gaya, Kota Kinabalu bermula 10 pagi, hari ini diadakan tanpa permit sah.

Ia berlangsung sejam, diadakan sebagai membantah pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang turut dihadiri Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya tidak menerima permohonan permit daripada penganjur dan himpunan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bagaimanapun, katanya, polis berjaya mengawal keadaan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Himpunan dihadiri kira-kira 100 orang dan kurang mendapat sambutan.

“Anggota mengawal keadaan dan himpunan disuraikan selepas sejam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, setakat ini tiada individu yang ditahan dan tindakan akan diambil ke atas penganjur kerana berhimpun tanpa kebenaran.

Terdahulu, difahamkan, perhimpunan itu dianjurkan bagi membantah pelaksanaan pemberian PSS kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 12:56 PM