Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mencederakan ibu kandungnya dengan menarik rambut dan telinga warga emas itu.

Majistret Abdul Hayyi Salim memutuskan demikian selepas tertuduh, Raja Muhammad Faiz Raja Salim, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibunya, Maimunah Yunus, 68, di rumah di Manir, Kuala Terengganu pada 10 pagi, 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

RAJA Muhammad Faiz dipenjara enam bulan, hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh yang dikenakan bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa menegur anak lelakinya yang keluar dari bilik air supaya menukar pakaiannya kerana menyebabkan lantai rumah basah dan licin.

Tertuduh yang bengang ditegur, menarik rambut dan telinga mangsa sehingga menyebabkan warga emas itu jatuh, sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

Jeritan mangsa didengari seorang penjual santan berhampiran rumah mereka yang bergegas membantu mangsa dengan meminta tertuduh melepaskan tangannya daripada terus menarik rambut mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 2:23 PM