GAMBAR lalat hijau yang ditangkap anggota bomba selepas menerima panggilan haiwan berbisa. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


SEPASUKAN anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menerima panggilan aduan kehadiran kes haiwan berbisa, namun lalat hijau pula yang ditemui.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kes seperti ini belum pernah diterima JBPM Kedah sebelum ini.

Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar pada mulanya menerima panggilan kehadiran haiwan berbisa di belakang sekolah di Anak Bukit, Alor Setar, 6.03 petang semalam.

“Anggota kami dimaklumkan oleh pemanggil yang dia terdengar bunyi sesuatu pelik dan mencurigakan dalam almari berkemungkinan binatang.

“Hasil pemeriksaan mendapati seekor lalat hijau terperangkap dalam almari berkenaan dan bukannya ular yang dimaklumkan oleh pemanggil,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini, hari ini.

Sayani berkata, walaupun menerima kes pelik seperti itu, namun anggotanya tetap pergi ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.

Beliau berkata, kes selesai dan tamat pada 9.19 malam.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat panggilan kecemasan dan kenal pasti terlebih dahulu haiwan yang berada di dalam kediaman atau premis masing-masing.

“Sekiranya berlaku kejadian besar seperti kebakaran, lemas atau kemalangan, anggota kami akan lambat sampai jika hadir di kes yang diterima seperti lalat ini,” katanya.

Sayani berkata, ada setengah BBP di beberapa daerah cuma ada satu keluaran dan ada yang mempunyai dua atau tiga keluaran.

Katanya, bagi BBP yang mempunyai satu keluaran, kes pelik seperti lalat ini akan melambatkan kehadiran anggota untuk menghadirkan diri kes kecemasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 2:31 PM