SEBUAH kren yang tumbang di tapak pembinaan di Jalan 2/48A Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.
Khairul Najib Asarulah Khan


PROJEK pembangunan di Jalan 2/48A Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang dihentikan susulan kren runtuh, hanya boleh beroperasi semula apabila mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, setakat ini siasatan awal pihaknya mendapati pemaju dan kontraktor gagal menekankan aspek keselamatan.

“Ia menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis henti kerja mengikut Seksyen 70B (5) (a) Akta Jalan Parit Bangunan 1975.

“Pembinaan hanya boleh beroperasi semula selepas JKKP memberi kebenaran.

“Selain itu, pihak berkaitan juga diminta menyediakan laporan insiden dan punca kegagalan menjaga aspek keselamatan,” katanya hari ini.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan pemaju tapak pembinaan dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja pembinaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat dilapor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemaju menyewa kren untuk melakukan kerja di tapak projek.

Kren di tapak itu tumbang pada 6.30 petang, Jumaat lalu mengakibatkan empat individu cedera termasuk bayi lelaki berusia tiga bulan selain, menyebabkan kerosakan lain.

Berita berkaitan

Kren tumbang: Pemaju tak ikut SOP

Empat termasuk bayi cedera kren tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 4:31 PM