Dr Maszlee mengangkat Icha untuk dibawa ke PPS Masjid Kampung Melayu Bukit Nyamuk di Simpang Renggam hari ini. Foto FB
Dr Maszlee mengangkat Icha untuk dibawa ke PPS Masjid Kampung Melayu Bukit Nyamuk di Simpang Renggam hari ini. Foto FB
Mary Victoria Dass

“TIADA siapa yang boleh mengangkat Icha kerana ibu bapa terutama ibunya nampak uzur,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berkongsi pengalaman menyelamatkan seorang gadis orang kurang upaya (OKU) di Kampung Melayu Bukit Nyamuk di Simpang Renggam pada 12 tengah hari ini.

Menurutnya, pihaknya melakukan tinjauan ke kawasan terjejas dan mengenal pasti sebuah rumah yang berada di lokasi terpencil.

Katanya, apabila pihaknya ke kediaman itu didapati tiga individu berada dalam rumah berkenaan termasuk pasangan warga emas berusia antara 65 hingga 70 tahun serta anak mereka yang terlantar.

“Bila diperiksa, ada gadis OKU bernama Icha berusia 23 tahun tinggal bersama ibu bapanya dan keadaan mereka amat sedih dan kasihan.

“Memandangkan hujan yang tidak berhenti daripada pagi hingga tengah hari, saya fikir lebih elok sekiranya kami terus membantu memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Tambahan pula, tiada siapa yang boleh mengangkat Icha, saya menghulurkan bantuan dengan memindahkannya ke kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Maszlee berkata, selain Icha atau nama sebenarnya, Intan Nor Farisha, ibu bapanya turut diselamatkan.

“Kami kosongkan kereta dan muatkan keluarga terbabit sebelum terus bergerak ke PPS Masjid Kampung Melayu Bukit Nyamuk.

“Saya berharap Icha dan semua mangsa banjir dalam keadaan selamat selain kebajikan terjaga ketika berada di PPS.

“Pejabat Parlimen Simpang Renggam juga menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, perkongsian video oleh Maszlee ketika menyelamatkan gadis berkenaan tular di Facebook (FB).

Netizen bukan saja menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti Maszlee malah turut mendoakan agar Icha berada dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:31 PM