Effendy meninjau lokasi kawasan dinaiki air di Bukit Balai padang memantau kawasan banjir di Bukit Balai, Durian Tunggal, Melaka. Foto Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi

SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka mula dibuka petang ini selepas hujan berterusan sejak pagi hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, PPS di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal di Bukit Balai dibuka pada 3 petang.

“Mangsa yang dipindahkan ke PPS itu membabitkan penduduk di kawasan Kampung Bukit Balai.

“Seramai 13 mangsa daripada tiga keluarga kini dipindahkan selepas pekarangan kediaman mereka mula dinaiki air,” katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain kelengkapan aset berada dalam siap siaga, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut melakukan pemantauan 24 jam sejak semalam di kawasan berisiko banjir.

“Di negeri ini terdapat 46 kawasan berisiko banjir membabitkan tiga daerah iaitu Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah dikenal pasti.

“Seramai 50 anggota kini digerakkan termasuk membuat rondaan pemantauan, ditugaskan di PPS serta pusat kawalan operasi,” katanya.

Effendy berkata, tiada pertambahan mangsa dilaporkan sehingga 6 petang tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan angka itu akan bertambah sekiranya hujan lebat berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:46 PM