ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam menyelamatkan mangsa banjir di Pusat Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Sawi, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
BERNAMA

LEBIH 6,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini di Johor dan Pahang, selain Melaka yang menjadi negeri terbaru dilanda bencana alam itu.

Johor mencatatkan mangsa paling ramai dengan 5,592 orang daripada 1,549 keluarga berada di PPS setakat 5 petang ini, berbanding 3,934 orang daripada 1,079 keluarga, 12 tengah hari.

Peningkatan itu susulan Johor Bahru dan Pontian menjadi daerah terbaru terjejas dengan bencana itu, selain daerah sedia ada yang dilanda banjir iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Segamat.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di 63 PPS iaitu 10 di Mersing, 14 di Kota Tinggi, 20 di Kluang, 11 di Segamat, masing-masing dua di Batu Pahat, Kulai dan Johor Bahru, serta sebuah masing-masing di Pontian dan Muar.

Di Pahang, mangsa banjir di Rompin, satu-satunya kawasan dilanda banjir setakat ini, terus meningkat menjadikan jumlah keseluruhan yang ditempatkan di sembilan PPS seramai 790 orang daripada 204 keluarga pada 4.05 petang, berbanding 765 orang daripada 195 keluarga, pada tengah hari.

Di Melaka, sebuah pusat pemindahan banjir dibuka berikutan hujan lebat sejak pagi tadi yang mengakibatkan beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir.

Setakat 3 petang, seramai 13 orang penduduk membabitkan tiga keluarga dari Kampung Bukit Balai dipindahkan ke PPS di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Bukit Balai.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan hujan lebat di kawasan Rompin, Pahang; serta Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi di Johor sehingga Selasa ini.

Notis waspada dengan hujan lebat turut dikeluarkan bagi kawasan Maran; Kuantan; Bera dan Pekan di Pahang serta Tangkak; Muar; Batu Pahat; Pontian dan Johor Bahru di Johor yang diramal berlaku sehingga tempoh sama.

Selain itu, notis sama turut dikeluarkan bagi Kuala Pilah; Rembau; Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan dan seluruh negeri Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:21 PM