ANGGOTA bomba mengangkat mayat Che Arimah yang ditemui terapung di tali air. FOTO Ihsan Bomba
Siti Rohana Idris


SEORANG lelaki tidak dapat menahan sebak apabila menemui mayat isterinya terapung di tali air di Kampung Mesira Kepulau di Tumpat, petang, semalam.

Mayat Che Arimah Mat Nor, 55, ditemui Mohd Rosli Musa, 57, kira-kira 4.45 petang selepas isterinya yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis itu tiada di rumah sejak kelmarin.

Mohd Rosli berkata, meskipun terkilan dengan kehilangan isterinya itu, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

Dia berkata, kemungkinan isterinya terkena serangan jantung ketika turun dari tangga rumah malam tadi dan tergelincir ke dalam tali air.

“Walaupun sangat sedih dengan cara arwah pergi, tapi saya reda dengan takdir ini,” katanya ketika dihubungi.

Menceritakan semula kehilangan isterinya itu, Mohd Rosli berkata, Che Arimah keluar rumah 8.30 malam semalam selepas memeriksa tekanan darah.

“Dia mengadu darahnya naik dan saya ketika itu masuk ke dapur untuk mandi dan selepas membersihkan diri, saya dapati isteri tiada di bilik.

“Saya cuba mencarinya di dalam rumah tetapi tiada dan cuba menghubunginya, namun telefon bimbit berdering di bilik kerana dia tidak membawanya.

“Saya menunggu beberapa jam kerana dia kerap juga keluar mengambil angin di luar rumah, dalam masa sama menghubungi ahli keluarga yang lain dan mereka memaklumkan tidak tahu,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pencarian isterinya disambung hari ini sehingga menyedari satu objek timbul di permukaan tali air yang hanya beberapa meter dari rumahnya dan sebaik diteliti ia adalah mayat isterinya.

Katanya, selepas penemuan mayat itu, jenazah isterinya dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

“Jenazah akan dikebumikan secepat mungkin sebaik proses bedah siasat selesai,” katanya sambil memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:09 AM