ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai membantu penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, berpindah. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai membantu penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, berpindah. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

HAMPIR 10,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Johor mencatat jumlah tertinggi sebanyak 9,043 orang daripada 2,448 keluarga yang dipindahkan setakat 9 malam tadi.

Jumlah berkenaan meningkat mendadak berbanding 5,592 orang daripada 1,549 keluarga pada 5 petang semalam.

Di Johor, kesemua mangsa ditempatkan di 83 PPS iaitu 28 di Kluang, 19 di Segamat, 17 di Kota Tinggi, 10 di Mersing, tiga di Johor Bahru, dua di Batu Pahat, dua di Kulai dan masing-masing sebuah di Muar dan Pontian.

Kluang mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 2,611 orang daripada 733 keluarga, diikuti Kota Tinggi pula 2,552 orang daripada 664 keluarga.

Selain Johor, jumlah mangsa yang dipindahkan di Pahang turut meningkat, Melaka kekal dengan jumlah sama, manakala Sarawak pula menjadi negeri terbaharu dilanda bencana alam terbabit.

Di Pahang, mangsa banjir di Rompin, satu-satunya kawasan dilanda banjir setakat ini, semakin bertambah apabila sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan keseluruhannya 10 PPS beroperasi malam ini.

Setakat 7.20 petang semalam, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan mangsa banjir daerah itu kini berjumlah 858 orang daripada 232 keluarga, bertambah daripada 790 orang membabitkan 204 keluarga petang semalam.

Di Melaka, setakat 8 malam tadi, keadaan tidak berubah dari petang semalam dengan 13 orang penduduk membabitkan tiga keluarga dari Kampung Bukit Balai dipindahkan ke PPS di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Bukit Balai.

Di Sarawak, sebuah PPS dibuka di Dewan Suarah, Marudi di Miri pada 4.45 petang semalam berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi yang menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Seramai 11 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 1:33 AM