KHAIRI memantau hakisan tanah di kawasan rumahnya.

KOTA BHARU: Lebih 50 penduduk di Kampung Pantai Mek Mas di sini, khuatir hakisan di pantai itu yang semakin serius akibat kejadian ombak besar Jumaat lalu akan menjejaskan kediaman mereka.

Tinjauan di pantai berkenaan mendapati pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina benteng sementara bagi mengelakkan hakisan bermula sejak sebulan lalu daripada semakin serius.

Penduduk, Khairi Ramli, 20, berkata, rumahnya terletak hanya lima meter dari pantai, berikutan itu dia perlu sentiasa berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Keadaan itu menyebabkan ada ketikanya air memasuki rumah kami. Sejak semalam (kelmarin) kami dalam keadaan berjaga-jaga berikutan dijangka berlaku tiupan angin kencang.

“Kami harap pihak berkenaan menyegerakan projek membina benteng kerana bimbang kediaman kami ditelan laut,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, nelayan, Khalid Yakob, 51, berkata, kawasan itu kerap dilanda ombak besar mengakibatkan penempatan berhampiran dinaiki air hingga ada penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Manakala Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob mengingatkan komuniti maritim seperti nelayan dan mereka melakukan aktiviti riadah air agar sentiasa berwaspada berikutan kedatangan musim monsun timur laut.

Beliau berkata, pihaknya juga melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kejadian kecemasan di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:50 AM