ANTARA kawasan terjejas. FOTO Ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


BILANGAN mangsa banjir di Johor meningkat secara mendadak kepada 9,151 orang, pagi ini, berbanding 5,592 orang, pada petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, bilangan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut meningkat daripada 63 kepada 93 dan ia menempatkan 2,475 keluarga berbanding 1,549 keluarga pada petang semalam.

Beliau berkata, antara daerah terjejas adalah Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat dan Kulai, Muar dan Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian.

Menurutnya, Pontian menjadi daerah kesembilan dilanda banjir dan seramai 184 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Katanya, sehingga kini, Kota Tinggi mencatatkan 2,659 mangsa daripada 695 keluarga di 18 PPS; Mersing (1,303 mangsa daripada 365 keluarga di 10 PPS) dan Segamat (1,350 mangsa daripada 358 keluarga di 23 PPS).

Sementara, Kulai (124 mangsa daripada 39 keluarga di 2 PPS), Muar (25 mangsa daripada tujuh keluarga di sebuah PPS); Batu Pahat (74 mangsa daripada 18 keluarga di tiga PPS) dan Johor Bahru (766 mangsa daripada 201 keluarga di lima PPS).

"Hanya sebuah PPS ditutup di Kluang setakat ini. Antara laluan ditutup akibat banjir termasuk Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok, Ladang Bukit Payung dan Jalan Kampung Mawai Lama di Kota Tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:08 AM