BANGKAI ikan berkenaan. FOTO BERNAMA
BANGKAI ikan berkenaan. FOTO BERNAMA
Mohd Aizat Shamsuddin


IKAN lumba-lumba ditemui terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus, dekat Kuala Terengganu, Jumaat lalu yang diselamatkan oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditemui mati di pantai terbabit, kelmarin.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan lumba lumba yang terdampar di pantai bergelut untuk berenang semula ke laut dengan melawan ombak.

“Melihat saiz ikan lumba-lumba terbabit masih lagi muda dan apabila terpisah daripada ibu dan kawannnya, memang susah untuknya meneruskan hidup.

“Mungkin juga terdapat kecederaan pada organ dalaman badan atau perut disebabkan makanan yang tidak boleh hadam selain ikan lumba-lumba terbabit terkena air tawar juga boleh memberi kecederaan luar badan.

“Kita juga boleh kaitkan dengan sakit semula jadi kerana ikan lumba lumba atau paus sekiranya sakit dan hampir mati, ia akan ke pesisir pantai untuk mencari tempat rehat dan mati di situ,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bangkai ikan lumba-lumba itu akan ditanam di lokasi berhampiran mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Perikanan.

“Jika dijumpai hidup, ia perlu dilepaskan segera ke laut dan jika terdapat kesan luka atau cedera teruk, ia akan dibawa balik ke FRI untuk dikuarantin dan dirawat sehingga sembuh.

“Sekiranya dijumpai mati, kita akan uruskan bangkai atau karkas itu dengan baiknya. Bangkai masih segar akan dilakukan bedah siasat dan diawet untuk dipamerkan di Galeri Spesis Marin Terancam FRIRA.

“Namun sekiranya sudah reput lebih 24 hingga 48 jam, kita akan lupuskan dengan cara tanam dan tulang itu akan diambil semula dalam tempoh empat hingga enam bulan kemudian untuk diawet dan dipamerkan,” katanya.

Berita berkaitan

Alahai, kesiannya dia... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 11:43 AM