GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TIDAK cukup ditumbuk, seorang wanita turut diugut akan dibunuh bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah hotel di Chukai, kelmarin.

Malah, mangsa berusia 22 tahun itu turut menanggung kerugian apabila suspek berusia 25 tahun turut melarikan telefon bimbit miliknya dalam kejadian 1.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di tempat kerjanya sebelum didatangi suspek.

Katanya, sebaik berjumpa mangsa, suspek dikatakan menarik baju mangsa sebelum menumbuk bekas teman wanitanya selain turut mengambil telefon bimbit milik mangsa.

“Sebelum beredar, suspek mengugut akan mencederakan mangsa selepas waktu bekerja mangsa tamat.

“Dia yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa mendakwa suspek sebelum ini pernah memukul dan mengugut akan mencederakan serta membunuh mangsa.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 2:07 PM