BERNAMA

KISAH permulaan hidup Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan penulisan yang cukup indah dalam buku bertajuk, My first year journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience.

Buku mewah setebal 133 muka surat itu adalah nukilan kakak baginda sendiri, Datin Dr Norely Abdul Rahman dan dijual pada harga RM160 senaskah yang sebahagian hasil pembelian itu akan disalurkan kepada kempen Stray Free Selangor bagi membantu haiwan jalanan.

Tengku Permaisuri Norashikin adalah Penaung Diraja bagi kempen berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor sejak 2017.

Buku berbahasa Inggeris itu dilancarkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa penerbitan buku tersebut adalah bagi berkongsi pengalaman baginda menempuh perkara baharu buat pertama kali sebagai Tengku Permaisuri Selangor, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat dalam Balairung Seri.

“Tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.

“Saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku ini walaupun pada masa sama, perasaan saya bercampur baur dan kadangkala berbelah bahagi. Apatah lagi, saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi sejak dahulu,” titah baginda.

TENGKU Permaisuri Norashikin berkenan melihat isi kandungan buku 'My First Year Journey From TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor' di Pustaka Raja Tun Uda hari ini. FOTO BERNAMA.

Turut berangkat ke majlis itu adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kerabat diraja Selangor.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, bercerita mengenai buku berkenaan, Norely yang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang pendidikan dari Asia e University, Kuala Lumpur berkata, beliau mengambil masa hampir tiga tahun untuk melengkapkan isi kandungannya memandangkan jadual Tengku Permaisuri Norashikin yang padat.

Norely berkata, walaupun pada awalnya Tengku Permaisuri Selangor itu agak berat untuk berkongsi kisah hidupnya dengan menyifatkan dirinya sebagai ‘tidak menarik’, beliau cuba meyakinkan adik bongsunya itu bahawa rakyat pastinya ingin tahu mengenai pengalamannya.

“Satu perkara yang saya perhatikan adalah apabila seseorang berada ‘di atas’, ramai akan mengidolakan mereka tanpa ketahui cerita sebenarnya. Orang boleh memuji dan mengeji. Disebabkan itu, saya berpendapat adalah lebih bagus jika rakyat tahu dari mana asal usul kita dan kisah di sebaliknya.

“Menerusi buku yang dibahagikan kepada 14 bab ini, penceritaannya berdasarkan kepada kisah-kisah di sebalik peristiwa dilalui Tengku Permaisuri. Jalan ceritanya daripada pihak baginda sendiri. Saya amat berbesar hati dengan tunjuk ajar daripada Tuanku Sultan (Sultan Sharafuddin) terutamanya membabitkan penggunaan bahasa istana, terminologi dan protokol,” katanya.

Tambah Norely, buat masa ini, sebanyak 1,500 naskah telah dicetak dan pihak yang berminat untuk mendapatkan buku bagi pembacaan santai itu boleh merujuk ke laman Facebook Selangor Royal Office untuk maklumat lanjut.

Ditanya sama ada buku berbahasa Inggeris itu akan diterjemah ke Bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan pelbagai latar belakang pembaca pada masa depan, Norely berkata ia akan ditentukan oleh pihak Sultan Selangor sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 8:51 PM