Shamsul Munir Safini


POLIS percaya lelaki yang disyaki membunuh isterinya warganegara Myanmar, dengan mayat ditemui tercucuk pisau di leher semalam, masih berada di negara ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya sudah dapat mengesan suspek berusia 29 tahun itu dan turut mendapatkan bantuan pihak berkuasa di sempadan.

Katanya, sehingga kini tiada rekod keluar suspek dan penahanan segera akan dilakukan.

“Dia masih berada di negara ini dan polis sudah mendapat petunjuk serta dia akan ditahan bagi membantu siasatan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa Yoon Hati Htike, 29, yang berkelulusan kejuruteraan daripada sebuah universiti di Myanmar, bekerja sebagai jurubahasa di klinik berdekatan rumahnya.

NOORZAINY menunjuk gambar suami mangsa yang dalam buruan. FOTO Ramdzan Masiam.
NOORZAINY menunjuk gambar suami mangsa yang dalam buruan. FOTO Ramdzan Masiam.

“Mangsa dan suspek iaitu Mohammad Noor Lal Minah, berkahwin di Myanmar pada 2017 dan sering keluar masuk ke negara ini sejak 2013 secara sah.

“Suspek juga kali terakhir dikesan pada 13 Disember lalu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mereka yang juga etnik Rohingya mempunyai kad pelarian UNHCR.

Polis menemui mayat Yoon pada 10.30 malam semalam, dengan pisau masih tercucuk di leher dipercayai ditikam suami akibat cemburu di sebuah kondominium di Butterworth.

Penemuan itu hasil laporan polis dibuat majikan mangsa selepas dia tidak hadir bekerja selama tiga hari.

Berita berkaitan

Isteri maut ditikam suami

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 3:44 PM