Rizanizam Abdul Hamid

KEPUTUSAN sama ada mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung pembabitan mereka dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bakal diketahui esok.

Tiga mereka itu ialah ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaren, 60; ADUN Gadek G Saminathan, 34, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S Chandru, 38.

Hakim Mahkamah Sesyen Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan sokongan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili ketiga-tiga tertuduh di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar.

Terdahulu, dalam prosiding kes yang berjalan hampir empat jam itu, Izhanudin memohon empat pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selain hujahan jaminan juga didengar di mahkamah berkenaan.

Chandru (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini. Rasul Azli Samad
Chandru (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini. Rasul Azli Samad

Ia dibuat mengikut Sijil Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah iaitu mana-mana kesalahan membabitkan keganasan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Elesabet kemudiannya hanya membenarkan perbicaraan kes dipindah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum membenarkan pihak pembelaan mengemukakan afidavit sokongan jaminan terhadap tiga notis usul yang dikemukakan minggu lalu.

Ramkarpal dalam hujahan sokongan jaminannya berkata, Badan Kehakiman mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin.

Mengambil kira rekod cemerlang ketiga-tiga tertuduh sebagai wakil rakyat dan juga ketua perbadanan, hujahnya, tidak menjadi halangan untuk mahkamah membenarkan jaminan.

Selain itu, katanya, kesemua tertuduh boleh diperintahkan untuk menggunapakai peranti pemantauan elektronik (EMD) dan melapor diri ke balai polis setiap hari.

Mahkamah kemudiannya memutuskan perbicaraan terhadap empat pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh dipindah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Elesabet menetapkan keputusan jaminan akan diputuskan petang esok di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 1 November lalu membenarkan permohonan 12 individu termasuk dua ADUN yang didakwa berhubung kumpulan pengganas LTTE untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Ramkarpal yang membuat permohonan itu di tiga Mahkamah Sesyen berasingan sebelum itu.

Dalam keputusannya, Rozina menyatakan terdapat merit dalam permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Akta SOSMA selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.

Organisasi militan itu diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 4:23 PM