X
DR Ismail (dua kanan) melancarkan Buku Kaji Selidik Keperluan Perumahan Anggota dan Perasmian Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke 28. FOTO Roslin Mat Tahir.
DR Ismail (dua kanan) melancarkan Buku Kaji Selidik Keperluan Perumahan Anggota dan Perasmian Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke 28. FOTO Roslin Mat Tahir.
Norzamira Che Noh


KETUA Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ismail Bakar menafikan terdapat pemindahan Ketua Setiausaha (KSU) di lima kementerian seperti dilaporkan portal berita.

“Laporan itu tidak betul. Saya juga belum dengar secara rasmi dan itu hanya persepsi orang awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-28 di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir adalah Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Terdahulu, satu portal berita melaporkan lima kementerian akan melakukan pemindahan pegawai kanan minggu ini sebagai sebahagian daripada perubahan di lapan kementerian.

Bagaimanapun, laporan yang memetik sumber itu, hanya menyatakan pertukaran yang dikatakan berlaku minggu ini membabitkan KSU di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Usahawan.

Kementerian lain yang dikatakan terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pendidikan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kerja Raya.

Sumber juga menyebut perpindahan itu bukan satu sabotaj tetapi atas permintaan menteri terbabit bagi melancarkan lagi operasi.

Portal berkenaan juga melaporkan ramai penjawat awam yang menghampiri usia persaraan akan ‘dibebaskan’ manakala bagi yang berkhidmat secara kontrak pula tidak akan disambung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 7:25 PM