Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam, diberitahu terdapat tiga tempat berbeza yang sengaja dibakar di dalam bilik tidur yang meragut nyawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, tahun lalu.

Saksi pendakwaaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Abdul Halim Zulkefeli berkata, hasil siasatannya mendapati, dua daripada tiga tempat itu adalah di bahagian kanan kepala katil serta kanan tilam.

Bilik tidur utama itu di rumah Nazrin dan tertuduh pertama, Samirah Muzaffar di Mutiara Homes, Mutiara Damansara.

“Manakala satu lagi kebakaran yang dikenal pasti adalah di bahagian kepala mangsa.

“Jika rujuk pada laporan bomba, ini adalah tiga kawasan kebakaran yang terbabit,” katanya ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes bunuh Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, hari ini.

ABDUL Halim ketika hadir perbicaraan kes pembunuhan Nazrin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar
ABDUL Halim ketika hadir perbicaraan kes pembunuhan Nazrin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, ketika disoal peguam Rahmat Hazlan, saksi sama memaklumkan dia tidak tahu bahawa pada hari kejadian iaitu 14 Jun 2018, ibu saudara Samirah ada melihat kad sim dalam telefon bimbit Huawei dicabut oleh seorang pegawai bomba.

RAHMAT: Kami ada saksi yang melihat kejadian itu, iaitu ibu saudara Samirah, Aziah Hashim, ketika ada di ruang bawah rumah ternampak pegawai bomba pegang telefon dan mencabut kad sim sambil berkata sesuatu yang tidak dapat didengar, adakah kamu tahu perkara ini?

ABDUL HALIM: Tak tahu.

Dalam keterangan sebelum ini, Abdul Halim memberitahu mahkamah dua telefon bimbit masing-masing berjenama Blackberry dan Huawei yang ditemui di bilik tidur Nazrin didapati tidak mempunyai kad sim dan tiada letupan.

Pemeriksaan di tempat kejadian pada 14 Jun 2018 membawa penemuan telefon Blackberry, manakala telefon bimbit jenama Huawei pula dijumpai lima hari kemudian.

Samirah, 44, yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Pada Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Samirah ,44, dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 7:38 PM