BUTANG lif dilumur najis manusia dan kini tidak dapat digunakan untuk kerja pembersihan. Foto Ihsan JMB Blok D Apartment Taman Medan Jaya
BUTANG lif dilumur najis manusia dan kini tidak dapat digunakan untuk kerja pembersihan. Foto Ihsan JMB Blok D Apartment Taman Medan Jaya
Amir Abd Hamid dan Nurul Hidayah Bahaudin

PENDUDUK Blok D Apartment Taman Medan Jaya di Petaling Jaya terkejut apabila satu daripada dua lifnya menjadi mangsa vandalisme apabila dilumur dengan najis manusia.

Kejadian itu disedari penduduk kira-kira 8 pagi hari ini ketika penduduk sibuk untuk menjalani rutin harian.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia menyangka bau busuk dalam lif itu disebabkan air keluar daripada bungkusan sampah yang mahu dibuangnya.

“Saya menjerit geram dan tidak menyangka ada pihak tidak bertanggungjawab melumurkan najis manusia di semua butang lif berkenaan.

“Tidak pernah berlaku vandalisme lif dilumur dengan najis sebelum ini. Kebiasaannya sebelum ini dirosakkan seperti dicucuh api dan curi peralatan pendawaian dalam lif itu,” katanya yang kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kemudahan itu.

Menurutnya, ramai penduduk bimbang untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian vandalisme yang kerap berlaku kerana pernah kereta menjadi sasaran dibakar.

Sementara itu, ketua blok apartment itu, Mohd Zuhdi Mat Saris, 44, berkata, pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengambil masa kira-kira sejam untuk membersihkan najis berkenaan.

Menurutnya, mesin pencanai terpaksa digunakan untuk membuka penutup butang lif bagi memastikan boleh bersihkan kotoran najis manusia itu.

“Laporan polis juga sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya berhubung kejadian ini. Saya amat berharap semua penduduk bekerjasama menjaga kemudahan yang kita sendiri perlu menggunakannya.

“Jika terdapat sebarang tindak-tanduk mencurigakan segera laporkan kepada pihak berkuasa atau menasihati secara baik kepada pihak berkenaan,” katanya.

Blok D Apartment Taman Medan Jaya mula dihuni sejak 2005 dan mempunyai 16 tingkat dengan 255 unit rumah dan 34 lot kedai membabitkan kira-kira seramai 1,200 penghuni.

Tinjauan di lokasi mendapati lif berkenaan masih belum digunakan dan dihadang menggunakan meja lipat, malah masih ada sedikit sisa bau busuk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 5:41 PM