Norizuan Shamsuddin


HUJAN di beberapa kawasan menyebabkan lima sungai di Terengganu mencatat peningkatan paras air iaitu melepasi paras bahaya, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga jam 6 petang ini, paras air di lima sungai iaitu dua di Setiu serta masing-masing satu di Besut, Dungun dan Hulu Terengganu kini melepasi paras bahaya.

Bacaan paras air di Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut mencatatkan bacaan 35.05 meter (M) berbanding paras normal 28.50 m.

Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu masing-masing mencatatkan bacaan 18 m dan 21.14 m.

LATIHAN Kendalian Bot APM sebagai persediaan menghadapi banjir gelombang kedua di tasik Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Rozainah Zakaria

Selain itu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu pula mencatatkan bacaan 24.95 m manakala paras air di Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun direkodkan pada paras kepada 22.42 m.

Enam lagi sungai menunjukkan bacaan pada paras berjaga-jaga membabitkan Sungai Besut di Kampung La, Besut dengan bacaan 21.24 meter; Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu (7.59 m); Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (11.53 m); Sungai Telemong di Kuala Ping (19.51 m), Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (36.17 m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (3.59 m).

Bagaimanapun, berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiada pusat penempatan sementara (PPS) di buka di negeri ini sehingga jam 6 petang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 6:56 PM