ANIFAH Aman. FOTO arkib NSTP
ANIFAH Aman. FOTO arkib NSTP
Avila Geraldine


BEKAS Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.

Bekas pemimpin UMNO yang kemudian menjadi wakil Bebas itu sebaliknya menyatakan beliau akan bertanding untuk kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini adalah detik emosi bagi saya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Saya menegaskan bahawa saya percaya kecuaian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan ketidakselesaan kepada rakyat di Kimanis dan perbelanjaan tidak bijak pembayar cukai.

“Pada masa akan datang, saya akan fokus usaha saya untuk menyatukan pelbagai kuasa politik di negeri ini untuk mempertahankan apa yang betul untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah turut menegaskan banyak cabaran dihadapi Sabah dan negara ini dan jika tidak ditangani dengan betul, ia akan mengancam keselamatan negara.

Beliau turut menganggap peluang berkhidmat selama tiga penggal di Parlimen Kimanis adalah satu penghormatan kepadanya.

“Saya berusaha melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya untuk membawa pembangunan kepada rakyat Kimanis tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang kaum mereka.

“Sebagai Menteri Luar selama sembilan tahun, saya berbangga mewakili Sabah dan Malaysia dan berada dalam kalangan pemimpin dunia dalam pelbagai mesyuarat,” katanya sambil turut menzahirkan penghargaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas peluang itu.

Menyentuh mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan, Anifah berkata, dia menerima biarpun tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Beliau menegaskan kegagalan SPR untuk merayu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadapnya, menimbulkan spekulasi bahawa ia terbabit dalam pengkhianatan mandat yang diberi rakyat.

“Sebagai mangsa kecuaian SPR, atas nasihat peguam, saya akan memulakan prosiding undang-undang terhadap SPR untuk ganti rugi,” katanya.

Pilihan raya kecil Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada Ogos tahun lalu yang membatalkan kemenangan Anifah dalam PRU-14.

SPR mengumumkan 18 Januari sebagai hari mengundi untuk kerusi Parlimen Kimanis, manakala penamaan calon pada 4 Januari dan undian awal akan berlangsung pada 14 Januari.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 6:29 PM