P Aryawar, 62, diminta tampil untuk perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
P Aryawar, 62, diminta tampil untuk perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga emas supaya tampil untuk perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Jenayah (2) Shah Alam pada 3 dan 4 Februari, tahun depan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, individu terbabit, P Aryawar, 62, adalah saksi penting dalam perbicaraan kes berkenaan nanti.

“Pada 8 Mei 2015, sepasukan polis menahan sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun di hadapan pondok pengawal di Taman Damai Impian Ehsan Cheras, Kuala Lumpur jam 7.05 malam.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu menemui bungkusan mengandungi syabu seberat 201.9 gram dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, lelaki warga emas yang beralamat terakhir di Taman Desa, Batu Caves itu adalah pemilik kereta Proton Wira berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Amyriul Naufa Mohd Yusoff di talian 0111 0176104.

“Lelaki berkenaan juga disarankan supaya tampil sendiri di mahkamah ketika perbicaraan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 9:30 PM