X
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ibrahim Isa


BUKAN lagi dianggap aduan kes terpencil apabila panggilan kecemasan berkaitan haiwan peliharaan terutama kucing kian meningkat sejak kebelakangan ini.

Difahamkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) antara agensi penyelamat paling sibuk apabila merekodkan 2,316 panggilan kecemasan membabitkan kes kucing di seluruh negara sejak Januari lalu.

Antara kes paling popular diterima membabitkan laporan kes kucing terperangkap di bangunan tinggi, pangsapuri dan pokok, terjatuh ke dalam lubang kumbahan, sungai atau longkang, tersepit di dalam saluran paip PVC dan barangan logam serta di bahagian enjin kenderaan.

Pengarah APM Wilayah Persekutuan Ghazali Abd Rahman berkata, secara asasnya APM diamanahkan bagi melaksanakan tugas menyelamat, memberi perlindungan dan khidmat kemanusiaan dari sebarang ancaman musuh, bencana serta kecemasan.

Bagaimanapun menurutnya, khidmat bantuan kemanusiaan tidak hanya terhad membabitkan kes bencana atau kemalangan berikutan APM turut bersedia membantu menyelamatkan nyawa haiwan.

“Masyarakat kini semakin prihatin dan mudah bersimpati terhadap masalah membabitkan haiwan. Malah mereka menyedari peranan dan kemampuan APM dalam menangani kes sebegini.

“Atas sifat prihatin, anggota APM akan berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkan haiwan peliharaan ini walaupun ada antaranya perlu mempertaruhkan nyawa,” katanya.

Malah dalam beberapa kes, ada anggota APM terpaksa bergayut menggunakan tali pada bangunan tinggi untuk menyelamatkan kucing yang terperangkap.

Dalam kes terbaru, anggota APM berusaha menyelamatkan kucing yang terperangkap di tingkat 10 sebuah pangsapuri di Presint 5, Putrajaya.

Dalam operasi jam 7.05 malam, anggota APM bertindak berani meniti tangga yang diletakkan antara kawasan pejalan kaki pangsapuri ke belebas tingkap.

Anggota APM akhirnya berjaya menyelamatkan kucing jantan itu selepas percubaan menggunakan kaedah jerut gagal.

Malah dalam kes terbaru, anggota APM sanggup merangkak masuk ke dalam lubang longkang di Taman Setapak Indah, di sini, bagi menyelamatkan kucing yang terperangkap di dalamnya.

Dalam kes berasingan kelmarin, anggota APM turut menyelamatkan kucing yang terperangkap di atas pokok kelapa setinggi kira-kira 14 meter di Jalan Cenderawah, Seriap, Kangar, Perlis.

Tugasan sama turut dilakukan sukarelawan APM yang menyelamatkan lapan anak kucing yang terperangkap di dalam longkang di Taman Mesra, Gua Musang, Kelantan.

PELBAGAI cabaran dihadapi sukarelawan APM dalam menyelamatkan kucing yang terperangkap.
PELBAGAI cabaran dihadapi sukarelawan APM dalam menyelamatkan kucing yang terperangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 9:01 AM
Kabinet Malaysia 2020