GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG wanita yang menetap di Marang berputih mata apabila wang simpanannya bernilai RM42,570 lesap selepas terpedaya dengan panggilan individu tidak dikenali, awal bulan lalu.

Kejadian bermula apabila peniaga berusia 58 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar dan mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan mangsa kononnya mempunyai notis tidak membayar cukai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, lelaki itu memaklumkan mangsa perlu menjelaskan tunggakan cukai berkenaan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, mangsa menafikan dia mempunyai tunggakan cukai menyebabkan lelaki itu meminta mangsa menunggu kononnya bagi menyambungkan panggilan ke Bank Negara untuk semakan.

“Sebaik panggilan disambungkan, mangsa dimaklumkan yang dia terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram pula, sebelum lelaki itu menawarkan diri membantu mangsa dalam kes berkenaan.

“Mangsa yang panik kemudian bersetuju dengan tawaran suspek sebelum dia diminta membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan kes.

“Mangsa beberapa kali melakukan transaksi pemindahan wang simpanan miliknya ke akaun bank diberikan lelaki itu sehingga jumlah keseluruhan bernilai RM42,570,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian tidak sedap hati apabila suspek terus meminta wang sebelum membuat laporan polis pada Khamis lalu untuk tindakan lanjut.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:27 PM