DR Imi Sairi Ab Hadi. FOTO fail NSTP
DR Imi Sairi Ab Hadi. FOTO fail NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


RAMAI dalam kalangan penghidap kanser payudara di negeri ini cenderung mendapatkan rawatan tradisional terutama khidmat bomoh tempatan dan Thailand berbanding ke hospital.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, berikutan itu majoriti pesakit tidak mendapat rawatan awal.

Katanya, ada dalam kalangan mereka berkenaan risau perlu menjalani pembedahan dan kehilangan payudara.

“Setiap tahun 100 pesakit disahkan menghidap kanser payudara di HRPZ II, angka ini tidak termasuk wanita menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan hospital swasta lain di negeri ini.

“Mereka taasub dan percaya pada rawatan tradisional tambahan pula kedudukan Kelantan berhampiran Thailand, ada ramai dukun serta bomoh kononnya boleh menyembuhkan penyakit.

“Situasi ini menyebabkan pesakit lewat ke hospital untuk menerima rawatan selepas kanser semakin serius barulah mereka ke hospital,” katanya ketika ditemui selepas Program Pink Oktober Walk di Taman Perbandaran Tengku Anis di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Hospital HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Menurutnya, mengikut statistik ramai dalam kalangan pesakit di negeri ini yang mendapatkan rawatan berada pada tahap tiga dan empat.

“Berdasarkan jangkaan kami, bagi pesakit tahap tiga dan empat hayat mereka lima tahun saja.

“Bagi pesakit yang berada pada tahap tiga peluang jangka hayat mereka hanya 50 peratus dan tahap empat pula antara 20 hingga 25 peratus saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:45 AM