PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Saifullizan Kamarul Zaman (dua kanan) memeriksa harga barangan selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasaraya Tesco Ipoh Garden. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Saifullizan Kamarul Zaman (dua kanan) memeriksa harga barangan selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasaraya Tesco Ipoh Garden. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sudah melaksanakan pemantauan harga dan perkhidmatan di kawasan Pulau Pangkor bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sebelum pulau itu menjadi Pulau Bebas Cukai (PBC) Januari depan.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pemantauan bermula sejak awal bulan ini bertujuan mengkaji harga bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan berlebihan.

“Kita menjangkakan apabila pengumuman Pangkor sebagai PBC, mungkin akan ada peniaga mengambil kesempatan kerana kita mengetahui apabila ramai pelancong maka akan banyak aktiviti perdagangan.

“Jadi kita sudah membuat kajian dengan mengambil harga pada bulan semasa dan kemudian kita akan mengambil harga pada Januari dan setiap suku tahun,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan dan melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismans 2019 di Pasaraya Tesco Ipoh Garden di Ipoh, hari ini.

Saifullizan berkata, pegawai penguatkuasa akan mengambil harga membabitkan barang keperluan, barang berkaitan perkhidmatan seperti hotel, pusat kecantikan dan sebagainya.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Pulau Pangkor

“Kita sudah memberi taklimat bersama pihak stesen penguatkuatkuasa KPDNHEP, Majlis Perbandaran Manjung bagi memberitahu langkah dan tindakan yang boleh dilakukan sekiranya mereka (peniaga) menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya akan membuat satu lawatan penanda aras pada pulau lain yang mempraktikkan PBC untuk mempelajari apa masalah dan isu yang boleh timbul berkaitan PBC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 2:51 PM