KHAIRUL Amin (kanan) memeriksa harga barangan mentah di Pasar Sena Kangar. FOTO Dziyauln Afnan Abdul Rahman
KHAIRUL Amin (kanan) memeriksa harga barangan mentah di Pasar Sena Kangar. FOTO Dziyauln Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


HARGA sekilogram bawang merah dijual kepada pengguna di Perlis naik tiga kali ganda sejak sebulan lalu apabila bekalan bahan berkenaan terputus dan begitu terhad kebelakangan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Khairul Amin Talib berkata, bekalan bawang merah mula dikesan menyusut sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama dalam 10 tahun harga bekalan bawang merah naik mendadak di negeri itu.

Katanya, sebelum ini harga bagi sekilogram bawang merah adalah RM4 tetapi berikutan masalah berkenaan timbul, kini ia dijual sehingga RM12 sekilogram.

“Daripada 58 premis yang diperiksa sejak September, lebih 95 peratus premis sudah menaikkan harga bawang merah memandangkan bekalannya yang begitu terhad.

“Namun, rekod terkini mencatatkan hanya tiga premis sahaja yang mempunyai bekalan bawang merah dan bekalan terus menyusut dengan mendadak,” katanya pada sidang media selepas pemeriksaan skim harga maksimum sempena musim perayaan Krismas di Pasar Sena.

Ditanya mengenai tindakan kawalan harga ke atas bawang merah, Khairul Amin berkata, setakat ini bahan mentah berkenaan bukan dikategorikan sebagai barangan harga kawalan memandangkan ia lebih digunakan di rumah dan tidak di dalam satu industri tertentu.

“Setakat ini KPDNHEP tidak menerima aduan daripada pengguna berhubung masalah kenaikan harga bawang yang timbul ini, namun bekalan bawang merah dijangka pulih selepas perayaan Tahun Baharu Cina, tahun hadapan,” Katanya.

Sementara itu tinjauan wartawan bersama KPDNHEP di Pasar Sena mendapati bawang merah dijual secara terhad pada harga RM12 sekilogram dan kebanyakannya terputus bekalan bawang merah, selain menggantikannya dengan bawang besar dari Pakistan yang rupanya seakan bawang merah pada harga RM9 sekilogram.

Peruncit, Karuna Karan, 37, berkata, dia tidak menerima bekalan bawang merah sejak hampir dua bulan yang lalu.

“Pembekal tidak hantar bawang merah dari India sekarang, kebanyakannya semua hantar bawang besar dari Karachi, Pakistan itupun kadang-kadang hantar bawang besar dari China yang cepat rosak dan berair,” katanya.

Pengguna, Wan Mansor Rashid, 69, berkata, turut menyatakan kebimbangan apabila bekalan bawang merah begitu terhad dan dijual pada harga yang tinggi.

“Kadang-kadang beli RM5 dapat bawang merah sikit sangat, tetapi memikirkan sebab nak guna terpaksa belilah juga walaupun mahal,” katanya.

WAN Rashid bimbang bekalan bawang sangat terhad dan harga naik mendadak. FOTO Dziyauln Afnan Abdul Rahman
WAN Rashid bimbang bekalan bawang sangat terhad dan harga naik mendadak. FOTO Dziyauln Afnan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 2:39 PM