X
NOR Fazlieyanie (dua dari kiri) bersama ibu dan dua adiknya. FOTO Rosli Ilham.
NOR Fazlieyanie (dua dari kiri) bersama ibu dan dua adiknya. FOTO Rosli Ilham.


“DUA minggu sebelum meninggal dunia, ayah merayu-rayu kepada saya supaya kembali bersekolah.

“Kini baru saya sedar rayuan ayah itu sebenarnya petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” kata Nor Fazlieyanie, 14.

Dia adalah anak sulung kepada Afandi Zakaria, 42, yang meninggal dunia akibat lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan karam dipukul ombak di muara Kuala Dungun ketika dalam perjalanan keluar menangkap ikan, pada 7 Disember lalu.

Nor Fazlieyani yang berhenti sekolah pada tahun lalu mengambil keputusan untuk menunaikan hasrat arwah bapanya meminta dia kembali meneruskan pembelajaran di Tingkatan 3, tahun depan.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah sejak di tingkatan dua untuk menjaga dua adiknya, Siti Nor Fazlieyana, empat tahun, dan Afazlie Afandi, dua tahun.

“Keluarga kami susah, pendapatan ayah sebagai nelayan tidak menentu tambahan sejak kebelakangan ini kurang hasil tangkapan dan ada ketika ayah balik dengan hampa.

“Keadaan itu menyebabkan ibu, Nor Azura Abd Aziz, 39, mengambil keputusan menjadi pembantu di sebuah bangsal menjual goreng pisang bagi menambah pendapatan keluarga kami,” katanya.

Menurutnya, setiap kali dia ke sekolah, ibu akan membawa kedua-dua adiknya ke warung dan keadaan itu menyulitkan ibu untuk membuat kerja.

Katanya, menyedari keadaan itu, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah untuk menjaga kedua-dua adiknya itu.

“Biarpun ayah dan ibu tidak membenarkan saya berbuat demikian, saya tetap bertegas untuk tidak ke sekolah demi menjaga dua adik.

“Arwah ayah marah dan sebelum kemalangan itu dia merayu bagi memastikan saya kembali semula ke sekolah serta ayah berjanji akan terus keluar menangkap ikan demi menambah pendapatan kami.

“Tak sangka rayuan ayah yang mahu saya ke sekolah adalah petanda dia akan pergi meninggalkan saya sekeluarga,” katanya.

Nor Fazlieyanie berkata, selepas kematian ayahnya barulah dia sedar hasrat arwah yang ingin melihat dia berjaya dalam pelajaran, sekali gus menjaga ibu dan dua adiknya.

Menurutnya, dia akan ke Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dalam masa terdekat untuk membuat permohonan kemasukan semula ke sekolah dan bercadang menyambung pelajaran di sekolah baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun.

“Bila sekolah nanti, saya terpaksa bertungkus-lumus mempelajari banyak mata pelajaran tertinggal serta bekerja keras sebagai menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) nanti,” katanya.

Dalam kejadian 7 Disember lalu, Affendi dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama dua rakan lain karam dipukul ombak di muara Kuala Dungun.

Dua rakan terselamat dalam kejadian itu, manakala mayat Affendi ditemui sehari selepas kejadian.

Berita berkaitan

'Arwah mahu lauk ikan singgang'

'Nelayan ditemui lemas'

'Nelayan dikhuatiri lemas bot dipukul ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 11:14 PM
Digital NSTP Subscribe