ADNAN Mat. FOTO arkib NSTP
ADNAN Mat. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bermula 1 Januari depan.

Presidennya Adnan Mat turut menyifatkan pemansuhan itu sebagai langkah terbelakang yang dibuat oleh kerajaan sedangkan negara di landasan yang betul untuk Malaysia Maju 2025.

“Kumpulan ini menerima BIPK sejak sekian lama dan kenapa perlu dimansuhkan.

“Walaupun ia hanya membabitkan pengambilan baharu, CUEPACS tetap tidak bersetuju kerana akan wujud dua kumpulan berbeza sedangkan jawatan adalah sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, BIPK perlu dikekalkan selagi jawatan itu wujud kecuali ia dimansuhkan.

“Kami juga kesal kerana pemansuhan ini tiada rundingan dibuat dengan CUEPACS malah kami sedar akan kesusahan kerajaan memenuhi semua kehendak berdasarkan keutuhan kewangan negara pada masa kini tapi pihak CUEPACS berharap ianya tidaklah membabitkanBIPK,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan semula keputusan pemansuhan itu dan jangan jadikan pemberian BIPK satu bebanan.

“Inilah pemberian sebagai penghargaan kepada mereka yang menjalankan amanah kerajaan kepada rakyat kerana pemberian BIPK ini sebagai galakan untuk mereka dalam meningkatkan kebolehpercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.

“Kami mohon dipertimbangkan semula dan hanya mansuhkan jawatan tidak relevan saja.

“Kita khuatir kebanyakan yang terbabit dalam pemansuhan ini adalah pakar kerajaan akan keluar dari perkhidmatan kepada rakyat,” katanya yang turut bersedih dan terkejut dengan berita pemansuhan BIPK itu.

Berita berkaitan

Potong elaun ahli politik, menteri, bukannya...

BIPK mansuh untuk lantikan baharu - JPA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 3:32 PM