KERBAU melintas jalan mati dilanggar tiga kenderaan di LPT2 dekat Ajil, Kuala Berang, hari ini. (Gambar kecil) Kereta mangsa yang terbalik. FOTO ihsan polis.
KERBAU melintas jalan mati dilanggar tiga kenderaan di LPT2 dekat Ajil, Kuala Berang, hari ini. (Gambar kecil) Kereta mangsa yang terbalik. FOTO ihsan polis.
Norizuan Shamsuddin


TIGA pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka merempuh kerbau melintas di Kilometer 422.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil, Kuala Berang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku membabitkan kereta Perodua Myvi, Toyota Corolla Altis dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang melanggar kerbau itu pada 6.30 pagi.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menghala ke Rantau Panjang, Kelantan.

“Apabila tiba di lokasi, kereta itu melanggar seekor kerbau melintas jalan menyebabkan keretanya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh penghadang besi di bahu jalan.

“Kemudian kereta Toyota Corolla Altis dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama gagal mengelak dan merempuh bangkai kerbau berkenaan sebelum terbalik.

“Selepas itu, MPV Toyota Wish dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah sama gagal mengelak dan melanggar bangkai kerbau berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan pemandu Perodua Myvi dan Toyota Corolla Altis cedera ringan manakala pemandu MPV tidak cedera.

Menurutnya, polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta merakam percakapan semua pemandu bagi siasatan lanjut mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Katanya, bangkai kerbau dan kenderaan terbabit sudah dialihkan bagi kelancaran trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 7:06 PM