X


PERSATUAN Perubatan Islam Malaysia (IMAM) menolak dengan sekerasnya pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai Januari tahun depan.

Jawatankuasa eksekutif IMAM dalam kenyataan hari ini berkata, penolakan itu berasaskan izzah (kemuliaan) dan nilai profesion perubatan dan bukan hanya berlandaskan isu kewangan semata-mata.

Menurutnya, tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu hanya memberi persepsi kepada rakyat bahawa sektor kesihatan bukan lagi suatu perkhidmatan yang kritikal dan penting.

“JPA dalam kenyataan balas rasmi bertarikh 25 Disember 2019 menyatakan bahawa: ‘Dari segi prinsipnya, pemberian BIPK adalah tidak kekal serta boleh ditarik balik apabila perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal’.

“Adakah wajar menganggap perkhidmatan perubatan kini sebagai tidak lagi kritikal?

“Walaupun secara zahirnya perjawatan di dalam sektor kesihatan dilihat sebagai penuh, namun yang lebih nyata adalah beban tugas yang semakin tinggi dan tidak sepadan dengan bilangan petugas yang sedia ada,” katanya.

Kenyataan itu turut memetik laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, antara lain merumuskan bahawa terdapat kekurangan kakitangan di hospital kerajaan selain mempunyai beban kerja tinggi yang melebihi keupayaan tenaga sedia ada.

“Hospital kerajaan penuh sesak dengan pesakit yang perlu menunggu tarikh dan giliran untuk mendapatkan rawatan untuk suatu tempoh masa yang lama.

“Dengan ekonomi yang meleset kini, terdapat pertambahan sebanyak 30 peratus peralihan pesakit daripada kemudahan swasta kepada hospital awam.

“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara juga, keadaan kesesakan di hospital awam, kekurangan tenaga perubatan, kejururawatan dan penghijrahan doktor ke hospital swasta (satu orang pakar setiap hari) merupakan fakta yang sahih untuk menyangkal pendirian JPA yang dangkal itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga, majoriti doktor, jururawat, ahli farmasi atau pembantu perubatan memilih kerjaya dalam di sektor kesihatan berikutan niat altruistik dan rasa tanggungjawab sosial untuk membantu masyarakat awam.

“Namun mereka juga manusia yang mempunyai keperluan dan kehendak insaniah. Tidak dapat dielakkan, motivasi dan kepuasan kerja itu berkait rapat dengan imbuhan kewangan tidak kira apa sektor pekerjaannya.

“Tidak berapa lama dahulu, kita begitu bermegah dengan berita bahawa sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di Asia Pasifik. Malangnya, adakah ini balasan yang diterima?” katanya

Kenyataan itu juga turut menggesa agar kerajaan khususnya JPA untuk menilai semula pemansuhan BIPK itu demi kepentingan kebajikan kakitangan kesihatan.

“Insentif ini dapat memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang cemerlang kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Berita berkaitan

Kekal BIPK selagi jawatan itu wujud: CUEPACS

Potong elaun ahli politik, menteri, bukannya...

BIPK mansuh untuk lantikan baharu - JPA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 7:20 PM