BOMBA memadam kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Syaherah Mustafa


LELAKI lumpuh separuh badan akibat angih ahmar melecur di bahagian paha, kaki dan belakang badan akibat kebakaran rumah di Kampung Paya Ular, Bunut Susu, di Pasir Mas, semalam.

Mangsa, Mohd Nor Md Rafar, 62, yang hanya mampu terbaring diselamatkan penduduk kampung kerana tinggal berseorangan semasa kejadian jam 6.50 petang itu.

Menantunya, Faizul Nawi, 33, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja keluar dari rumah terbabit selepas selesai solat Asar, manakala isterinya, Wan Nur Farhana Mohd Nor, 22, pergi ke kedai berhampiran.

“Petang itu, saya bersama dua anak ke rumah ibu yang jaraknya hanya 300 meter daripada rumah kami yang terbakar. Saya terkejut apabila didatangi seorang penduduk kampung yang memberitahu rumah kami dipenuhi api.

“Tanpa membuang masa saya bergegas balik ke rumah kerana risau keadaan bapa mentua yang uzur dan tidak mampu berjalan. Lagipun, saya tahu dia tinggal berseorangan kerana isteri ada beritahu untuk ke kedai sebentar.

“Sebaik sampai di rumah, saya lihat kediaman kami sudah terbakar hampir 70 peratus tetapi Alhamdulillah, bapa sudah diselamatkan oleh beberapa penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Faizul dalam nada sedih berkata mereka sekeluarga kini hanya tinggal sepinggang, malah semua persiapan sekolah anaknya juga hangus.

“Sekarang kami menumpang di rumah ibu saya buat sementara waktu, manakala bapa mentua masih mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

“Bapa saya sudah setahun menghidap angin ahmar, dia hanya mampu terbaring selain mengharapkan saya dan isteri untuk makan, minum serta menguruskannya. Pilu hati saya melihat keadaan bapa mentua yang semakin lemah akibat melecur.

“Saya reda dengan apa yang terjadi biarpun buntu bagaimana cara untuk meneruskan hidup selepas ini. Namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I, Nazah Nafi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.57 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Seramai 25 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu dan Pasir Mas membantu memadamkan kebakaran, yang mengambil masa selama 10 minit.

“Kes membabitkan kebakaran 100 peratus ke atas sebuah rumah jenis sementara, manakala seorang lelaki yang diselamatkan orang awam cedera akibat melecur.

“Mangsa dihantar ke HPM dengan menggunakan jentera EMRS Pasir Mas. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 10:31 AM