AHMAD Hasbullah ketika Majlis Pemasyhuran Hall Of Honor CACSC bersama Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat Kanada, Major General S M Cadden CD. FOTO ihsan Tentera Darat
AHMAD Hasbullah ketika Majlis Pemasyhuran Hall Of Honor CACSC bersama Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat Kanada, Major General S M Cadden CD. FOTO ihsan Tentera Darat
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PANGLIMA Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi mencipta sejarah apabila menjadi penuntut luar negara pertama dianugerahkan sebagai ahli ‘Hall of Honor’ Maktab Turus Tentera Darat Kanada (CACSC).

Majlis penganugerahan kepada Hasbullah diadakan sempena majlis Graduasi Penuntut Army Operation Course Siri 41 CACSC di Kingston, Kanada pada 5 Disember lalu atas pencapaian terbaik alumni yang dilantik sebagai pemerintah tertinggi dalam perkhidmatan.

Ahmad Hasbullah yang memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada September tahun lalu berkata, beliau berbangga kerana membawa nama Malaysia serta pasukan untuk memahat satu lagi pencapaian tinggi di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan pencapaian saya seorang saja tetapi ia pencapaian Tentera Darat serta negara dan saya berharap semoga jejak yang saya ukir akan diikuti oleh pegawai muda di pada masa hadapan.

“Jika bukan di CACSC, mungkin di kolej pertahanan negara lain pula,” katanya ketika sidang media di Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.

Berkongsi pengalaman menyertai kursus selama lapan bulan di CACSC bermula 17 November 1992, Ahmad Hasbullah yang ketika itu berpangkat Mejar berkata, keadaan cuaca sejuk sehingga -25 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilaluinya.

“Persiapan mental dan fizikal sudah dibuat sebelum ke Kanada dan segala bentuk halangan dapat diadaptasi dengan mudah.

“Ketika itu, seramai 63 penuntut mendaftarkan diri dan hanya ada tujuh pelajar asing termasuk saya dan apa yang pasti banyak ilmu yang dipelajari dalam tempoh terbabit,” katanya.

Menurutnya, beliau mahu setiap warga Tentera Darat berada pada tahap terbaik untuk melaksanakan amanah menjaga kedaulatan negara.

“Saya menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat memasang niat bahawa kerja adalah satu ibadah dan sahutlah cabaran supaya menjadi ikon Tentera Darat tanpa mengabaikan tuntutan agama serta nilai positif.

“Penganugerahan ini secara tidak langsung mengiktiraf ketenteraan Malaysia tambahan pula mereka adalah negara kelas pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 3:36 PM
Digital NSTP Subscribe