X
WAJAH ceria kanak-kanak ketika membeli kelengkapan persekolahan pada program TKHM 2019 Kembali Ke Sekolah.
WAJAH ceria kanak-kanak ketika membeli kelengkapan persekolahan pada program TKHM 2019 Kembali Ke Sekolah.
Rosyahaida Abdullah


KUALA LUMPUR: Menjelang program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2019 Kembali Ke Sekolah yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu, esok, jenama minuman kegemaran ramai MILO menzahirkan keprihatinan mereka menerusi sumbangan kelengkapan sekolah buat 150 murid sempena pembukaan sesi persekolahan 2020 minggu depan.

Sumbangan pek kembali ke sekolah itu terdiri pakaian seragam, kasut, alat tulis dan beg selain produk MILO untuk bekalan menghadapi hari persekolahan nanti.

Pengurus Operasi Wilayah Pantai Timur MILO, Awang Abdullah berkata, sumbangan itu sebahagian usaha pihaknya menyalurkan bantuan kepada murid di sekitar Kampung Undang, Kuala Terengganu yang rata-ratanya adalah daripada keluarga petani dan golongan B40.

Jelas beliau, bantuan juga menyasar meringankan beban golongan ibu tunggal, keluarga besar (ahli ramai) serta yang mungkin terjejas susulan musim tengkujuh seperti banjir dan sebagainya.

“Musim persekolahan baharu memerlukan pelbagai kelengkapan sekolah dipersiapkan. Justeru, menjadi harapan kami untuk sedikit sebanyak meringankan beban keluarga penerima dalam menghadapi sesi persekolahan seterusnya.

“Malah, dengan kelengkapan serba baharu, semoga ia dapat menyuntik semangat serta azam murid supaya lebih bersedia menempuhi cabaran persekolahan tahun depan.

“Pada masa sama, kami juga komited memastikan kebaikan MILO dapat dimanfaatkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Undang, Mazlan Ismail berkata, pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah bagi program TKHM 2019 Kembali Ke Sekolah pada kali ini yang bakal menyaksikan 40 muridnya diberi bantuan terbabit.

Ini kerana menurut beliau, sekurang-kurangnya 200 daripada 315 jumlah keseluruhan murid sekolah itu terdiri daripada golongan B40 dengan purata pendapatan RM300 perkapita.

“Saya anggarkan mungkin 75 peratus ibu bapa atau penjaga kepada murid di SK Undang hanya kerja kampung, kebanyakannya petani. Untuk bantuan ini, saya pilih 40 murid yang paling tidak berkemampuan berdasarkan pendapatan keluarga.

“Memandangkan sekarang sedang cuti sekolah, kami perlu hubungi seorang demi seorang murid untuk pastikan mereka tidak terlepas bas ke pasar raya Mydin Kuala Terengganu pagi Sabtu nanti untuk pilih sendiri barangan keperluan sekolah mereka.

“Sambil itu, ada juga ibu bapa yang saya sendiri bertanya mengenai baju sekolah anak mereka. Ada ibu bapa yang lega dengan bantuan ini sebab perancangan awal adalah untuk guna semula baju seragam tahun lepas serta baju kakak murid berkenaan yang akan ke tingkatan satu tahun depan.

“Mewakili seluruh warga sekolah, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MILO atas bantuan ini dan anak SK Undang pastinya sangat gembira, teruja dan tidak sabar untuk terima kelengkapan baru mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:30 AM