Siti Rohana Idris


“SEBELUM ini bukan saja baju sekolah, kelengkapan lain pun tidak pernah bertukar,” kata Mohd Asri Abdullah, anak yatim piatu dari Kampung Pasir Pekan, Tumpat.

Mohd Asri, 11, berkata, sejak dia dan kakaknya, Nur Arisya Wajihah, 13, berada di bawah jagaan aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, 51, hidup mereka mula berubah dan segala keperluan dipenuhi.

Dia berkata, sebelum ini mereka tinggal bersama bapa saudara namun sejak dua tahun lalu dia dan kakak tinggal bersama Faizah yang dipanggil ummi dan menerima pelajaran di sekolah berhampiran.

“Kalau dulu seragam sekolah kami tidak pernah bertukar dan terpaksa memakai yang lusuh tetapi sekarang tidak lagi kerana ummi sentiasa gantikan (seragam) jika sudah tidak boleh dipakai.

“Begitu juga dengan peralatan lain termasuk yuran sekolah, kami tidak perlu malu lagi kerana ia (yuran) dibayar tepat pada masanya,” katanya ketika ditemui di program agihan peralatan sekolah di Kampung Pasir Pekan, hari ini.

RAJA Shamri (tengah) bergambar bersama sebahagian 140 penerima sumbangan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAJA Shamri (tengah) bergambar bersama sebahagian 140 penerima sumbangan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Asri adalah antara 140 penerima sumbangan baju seragam, beg dan peralatan sekolah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) The Third Force bersama Persatuan Anak Sains Mara (ANSARA KB).

Pengasas The Third Force, Raja Shamri Raja Husin berkata, tahun ini seramai 711 penerima yang terdiri daripada anak yatim piatu dan miskin sekitar Tumpat menerima bantuan terbabit.

“Program sebegini sudah memasuki tahun keempat dan selain bantuan persekolahan, kami juga membuat agihan menyambut hari raya serta bantuan berkala lain bergantung kepada sumbangan yang disalurkan.

“Memandangkan saya juga adalah alumni dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu, kali ini kami bekerjasama dengan ANSARA dan diharapkan ia akan berterusan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu wakil ANSARA KB, Raja Izuddin Raja Ahmad berkata, mereka terpanggil untuk menjalin kerjasama itu dengan objektif membantu kanak-kanak asnaf meneruskan pelajaran dengan lebih selesa terutama yang berpotensi dalam bidang akademik.

“Persatuan kami juga aktif menjalankan aktiviti amal sebegini namun hanya dalam kelompok pelajar MRSM KB saja dan kali ini kami cuba luaskan sedikit agihan dan sumbangan.

“Semua dana yang diperoleh kali ini dianggarkan RM11,000 hasil dari kutipan alumni MRSM KB dan kami salurkan sepenuhnya untuk sumbangan peralatan persekolahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 11:56 AM
Kabinet Malaysia 2020