BONSAI, antara pokok yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
BONSAI, antara pokok yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa


SIFAT tamak individu yang mengaut keuntungan dengan mengimport anak pokok tanpa permit akhirnya tumpas selepas 1,961 anak pokok dirampas di pangkalan haram Limau Purut, di Rantau Panjang, kelmarin.

Rampasan bernilai RM2,156 itu dilakukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7)

sebelum barangan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, pengimport bersifat tamak dengan mengambil langkah membawa keluar anak pokok dari Thailand ke Malaysia tanpa membayar cukai kerajaan dan caj permit import.

“Hasil pemeriksaan pihak kami, anak pokok terdiri daripada pelbagai jenis tanaman komersial serta pokok hiasan antaranya mata kucing, bunga ros, bunga sundal malam, bonsai, kelapa pandan, limau nipis, avokado dan pokok kemboja.

“Semua barang ini dirampas kerana membawa keluar hasil pertanian tanpa permit sah adalah satu kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Azam berkata, mengikut akta terbabit, barangan diimport dan dieksport perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan MAQIS bagi memastikan kawalan penyakit ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan.

“MAQIS akan jalankan siasatan terhadap kes ini dan akan memastikan pesalah dikenakan hukuman setimpal jika didapati bersalah.

“Saya memandang positif hasil kerjasama baik MAQIS bersama agensi penguatkuasaan sempadan lain yang terus komited kerana dapat menggagalkan cubaan membawa masuk anak pokok tanpa permit.

“MAQIS bertanggungjawab memastikan tiada penyakit dan risiko kemasukan perosak serta keselamatan makanan selain akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan hasil pertanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 12:17 PM