GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyarankan orang ramai supaya mencari alternatif membeli bawang merah berdasarkan harga yang lebih murah di pasaran.

Ketika ini, orang ramai rata-rata bergantung kepada bawang merah yang lazimnya diimport dari India, namun harganya melambung tinggi berikutan krisis kekurangan stok bawang itu di pasaran.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya membuat penilaian dan menyelidik pasaran bawang tempatan, misalnya membuat perbandingan harga dengan bawang yang diimport dari Belanda, Pakistan dan China, sehingga bekalan kembali pulih.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, biarpun keperluan agak mendesak kerana ia adalah bahan utama digunakan dalam masakan, namun masih ada bawang import dari negara lain jenis lain yang boleh diperoleh di pasaran.

Katanya, ia adalah mekanisme jangka masa pendek yang boleh diambil berikutan kekurangan bekalan akibat banjir teruk di India sejak tiga bulan lalu sehingga menjejaskan eksport bawang, termasuk ke Malaysia.

“Kita agak terjejas kerana bekalan bawang merah import bukan saja digunakan penduduk tempatan, malah pendatang asing yang ada di sini.

“Jadi buat sementara, mungkin kita boleh beralih kepada bawang jenis lain (selain bawang diimport dari India) yang masih boleh didapati di pasaran.

“Dengan cara itu, kita tidak menghadapi masalah bekalan atau harga yang melambung sehingga lima kali ganda seperti yang berlaku minggu ini, hanya kerana terlalu bergantung kepada bawang import (India) semata-mata,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menjangkakan bekalan bawang merah India pulih menjelang Februari depan.

Pengerusi FAMA Ishak Ismail dilaporkan sebagai berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah segera sebelum ini dengan mengimport bawang merah dari negara lain seperti China, Pakistan dan Mesir sebanyak 106,395 tan metrik.

Mohd Yusof berkata, selain itu mekanisme jangka masa panjang juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan, terutama isu keselamatan makanan dengan menghasilkan sendiri barangan atau bahan yang digunakan rakyat di negara ini.

“Contohnya, kita tidak ada pertanian gandum untuk menghasilkan tepung. Tetapi untuk tempoh masa yang panjang, kita perlu menyesuaikan makanan ruji kita dengan apa yang boleh kita hasilkan.

“Dengan cara itu, kita tidak akan terkesan dengan sebarang perubahan bekalan daripada negara pengeluar atau eksport kerana kita sendiri mempunyai bahan yang sesuai dengan kegunaan rakyat kita,” katanya.

Beliau memberikan contoh, China sudah mula mengubah corak pemakanan rakyatnya dan menghasilkan sendiri bahan yang sesuai untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Katanya, kekurangan bekalan import akan berlaku lagi pada masa depan dan sebagai persediaan, negara juga perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelakkan masalah sama seperti ini berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 4:56 PM