ANTARA Rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
ANTARA Rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Mohd Sabran Md Sani


TAKTIK sindiket penyeludupan rokok menjadikan rumah sebagai ‘port’ rahsia, terbongkar apabila diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Camar 14, Bandar Putra di Kulai, petang semalam.

Pegawai Memerintah Batalian 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Ja’afar Kaimi berkata, dalam serbuan 2 petang itu, pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas 1,400 karton rokok bernilai RM276, 360.

Katanya, tangkapan dan rampasan itu hasil kerjasama sepasukan pegawai dan anggota polis di sebuah premis rumah di Bandar Putra di sini.

“Serbuan yang diketuai seorang pegawai bersama sembilan anggota itu membuat tangkapan dan rampasan rokok dipercayai seludup.

“Hasil serbuan di lokasi berjaya menahan seorang lelaki dewasa tempatan dan berjaya merampas 28 kotak besar berisi 1,400 karton rokok anggaran keseluruhan RM276,360,” katanya.

Katanya, rumah itu dipercayai dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan ke kedai-kedai runcit di sekitar daerah ini.

Katanya, suspek ditahan dan kesemua barang salah dirampas di bawah kesalahan Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 10:08 AM